Home NegeriTanah Rancangan FELDA Jerangau bermandikan cahaya ‘Lip Lap Raya’

Tanah Rancangan FELDA Jerangau bermandikan cahaya ‘Lip Lap Raya’

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Kawasan Tanah Rancangan (FELDA) Jerangau di sini bermandikan cahaya pada program  ‘Lip Lap Raya FELDA’
bersempena ‘Malam Tujuh Likur’ dan persediaan menyambut Hari Hari Aidilfitri malam tadi.

Ribuan warga FELDA tersebut keluar beramai-ramai seusai solat sunat Terawih begitu teruja apabila menyaksikan kemeriahan lampu hiasan berwarna-warni dan pelita raya menghiasi kampung mereka.

Program  ‘Lip Lap Raya FELDA’ itu merupakan kali pertama diadakan di kawasan mereka sejak mula mendiami tanah rancangan itu lebih enam puluh tahun lalu.

banner

Program hasil cetusan idea pengurusan FELDA bersama penduduk serta beberapa persatuan tanah rancangan itu dianjurkan bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri pada tahun ini.     

KAWASAN FELDA Jerangau diterangi cahaya lampu hiasan dan pelita raya sempena program Lip Lap Raya FELDA.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Penempatan penduduk FELDA Jerangau dibahagikan dengan enam zon itu bergerak melalui komuniti untuk menghiasi kawasan rumah masing-masing dengan memasang lampu lip-lap dan pelita raya.

Sementara itu, tinjauan menyaksikan penduduk begitu teruja melihat keceriaan dan kemeriahan penempatan mereka dengan kilauan cahaya daripada lampu lip-lap berwarna-warni dan pelita raya.

BEBERAPA aktiviti sampingan diadakan sempena sempena program Lip Lap Raya FELDA.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mereka amat berbangga melihat kejayaan program yang julung-julung kali diadakan itu yang mendapat sokongan dan sambutan serta kerjasama daripada pelbagai pihak.

Seorang wakil penduduk, Wan Mohd Rashid Wan Ismail berkata, selaku ketua peneroka FELDA berkenaan beliau berbangga melihat penyatuan penduduk dan komuniti di situ.

Menurutnya, semangat kerjasama yang ditunjukkan warga FELDA berkenaan amat tinggi demi menjayakan program berkenaan tanpa mengira fahaman politik, kedudukan dan usia mereka.

WAN MOHD RASHID WAN ISMAIL

“Saya kagum dengan semangat kerjasama komuiti FELDA Jerangau tanpa mengira peringkat umur bergotong-royong menjayakan program Lip Lap Raya FELDA ini,” katanya.

Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA, Mahsuri Abdul Ghani pula berkata, setiap ahli dan warga Felda berkenaan memberikan kerjasama terbaik bagi merealisasikan program itu sekaligus membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan mereka begitu tinggi.

MAHSURI ABDUL GHANI

Menurutnya, kebanyakannya anak FELDA yang berada di luar tanah rancangan itu turut menyumbang sumber kewangan bagi melihat kejayaan program ‘Lip-Lap Raya FELDA’ itu.

“Penganjuran program ini cukup meriah walaupun pertama diadakan di FELDA Jerangau ini” katanya.

Seorang penduduk, Maimun Manaf, amat terharu dan teruja apabila setiap kali melihat perpaduan dan semangat kerjasama ditunjukkan warga FELDA itu dalam menjalankan pelbagai aktiviti.

MAIMUN MANAF

Maimun berkata, kejayaan program, ‘Lip-Lap FELDA Raya’ itu membuktikan penyatuan dan perpaduan warga FELDA berkenaan dan berharap ianya dapat dikekal dan diteruskan generasi baharu.
  
“Program ini dapat merapatkan hubungan dalam kalangan peneroka apabila mereka saling bersatu padu memberi pandangan dan tenaga masing-masing,” ujarnya.

Wakil majlis belia FELDA berkenaan, Nurul Sakinah Majid berkata, kemeriahan dan kejayaan program malam itu menunjukkan perpaduan seluruh warga tanah rancangan itu khususnya anak-anak muda yang sentiasa memberikan komitmen terbaik dan ianya wajar diteruskan.

NURUL SAKINAH MAJID

“Saya sebagai wakil belia daripada FELDA, berharap agar program pihak FELDA ini akan dapat teruskan supaya kita dapat melahirkan generasi-generasi yang sentiasa bersatu padu dalam menjayakan program yang dirancang apa FELDA,” ujarnya.

Seorang wakil peneroka, Ramli Ngah, berkata beliau bangga dengan kesungguhan ditunjukkan warga FELDA itu yang begitu gigih membuat persiapan seperti membina replika, memasang lampu hiasan dan pelita raya bagi memastikan kediaman mereka cantik dan ceria.

RAMLI NGAH

“Walaupun program diadakan di bulan Ramadan tetapi penduduk tetap bersemangat memasang lampu hiasan dan pelita sebagai tanda sokongan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus FELDA Jerangau, Mohd Nasir Shamsudin berkata, program hasil inisiatif pengurusan FELDA bersama penduduk itu dilihat berjaya dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

MOJD NASIR SHAMSUDIN

Menurutnya, beliau bangga dan terharu melihat kerjasama dan kesungguhan kerja komuniti FELDA berkenaan termasuk anak-anak FELDA yang berada di luar yang sentiasa membantu.

“Turut diadakan pertandingan keceriaan antara zon, aktiviti memasak, pertunjukan silat dan juga pelbagai aktiviti lain bagi menambah lagi  keceriaan dan kemeriahan ‘Malam Tujuh Likur itu’. – Suara Timur

Tinggalkan komen