Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pengusaha lemang di Kijal dekat sini diingatkan supaya sentiasa menjaga kualiti produk bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan serta memelihara imej negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lemang Kijal bukan sahaja menjadi identiti Kijal dan Kemaman, malah merupakan antara ikon makanan tradisi negeri itu yang semakin dikenali sehingga ke Kuala Lumpur.
“Justeru, kualiti perlu sentiasa dipelihara agar pelanggan berpuas hati. Saya tidak mahu melihat komen negatif mengenai lemang Kijal di media sosial kerana ia secara tidak langsung boleh menjejaskan dan membunuh industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar dan Perasmian Pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di hadapan stesen minyak Shell, Kampung Bukit Anak Dara, di sini, petang semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zuwislan Awang; serta Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid.
Sebanyak 16 gerai baharu dibina di tapak baharu yang dikenali Wilayah Lemang Kijal yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pelanggan.
Pembinaan gerai baharu itu yang terletak tidak jauh dari tapak gerai lama itu bernilai RM570,000 yang dibayai MPK dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, lemang Kijal merupakan produk warisan turun-temurun yang tersenarai sebagai antara makanan Malaysia dan perlu dipelihara keasliannya.
Selain itu, beliau berkata, sebarang pengubahsuaian gerai baharu itu perlu mendapat kebenaran MPK terlebih dahulu bagi memastikan keseragaman dan keselamatan.
Mengulas pembangunan gerai, Razali berkata, pembinaan baharu dilaksanakan bagi menggantikan lokasi lama yang berisiko tinggi kerana terlalu hampir dengan jalan raya.
“Pemindahan ini mengambil masa selepas beberapa siri perbincangan dengan pengusaha, namun akhirnya berjaya direalisasikan dengan reka bentuk serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerja penurapan bitumen akan dilaksanakan selepas struktur tanah benar-benar stabil bagi mengelakkan pemendapan dan masalah air bertakung.
Selain itu, menurutnya, pada masa ini, pengusaha tidak dikenakan sewa sehingga Mei, manakala bayaran sewa akan bermula Jun dengan kadar minimum sebelum semakan semula selepas tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebuah lagi projek Gerai Lemang Kijal Wilayah Selatan akan dibangunkan dalam masa terdekat berhampiran simpang ke Universiti Kolej TATI.
Sementara itu, Zuwislan berkata pembinaan gerai tersebut adalah hasil perbincangan antara pihak berkuasa tempatan dan peniaga sejak pertengahan 2024.
Katanya, pembinaan gerai baharu fasa kedua itu melibatkan sebanyak 19 hingga 20 unit.
“Pembinaan gerai baharu ini membuktikan suara peniaga sentiasa diberi perhatian dan berharap semua pihak dapat menjaga kebersihan serta penampilan premis bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke kawasan berkenaan,” ujarnya. – Suara Timur
