KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan(KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) mengambil langkah proaktif menerusi penganjuran program Youth Hub peringkat negeri Terengganu (Y-Hub Terengganu) pada November ini untuk memberi tambah nilai pembangunan belia setempat.
Menurut Pengarah JBSNT, Asmadi Mohamad,
sebanyak 5 kerangka utama pengisian program tersebut bagi merapatkan jurang dalam kalangan belia negeri ini untuk turut menyertai sama ada sebahagian atau sepenuhnya program yang dianjurkan.
Menurutnya, lebih menarik, setiap program yang dianjurkan ini tiada sebarang bayaran dikenakan.

Katanya, kerangka pengisian program yang meliputi bengkel keusahawanan, teknologi AI, kemahiran TVET, kebudayaan termasuk pembangunan sahsiah dan motivasi menjadi tambah nilai yang terbaik buat belia-belia setempat untuk berada di landasan yang tepat untuk mengorak langkah seterusnya bagi membina generasi yang lebih berdaya saing di masa hadapan.
“Kami sebagai pemegang taruh utama pembangunan belia setempat tidak melihat penganjuran ini semata-mata untuk mengisi masa terluang oleh mana-mana pihak di mana kami mempunyai misi mahupun tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan Indeks Belia Malaysia yang masih sederhana ketika ini.

ASMADI MOHAMAD
“Hendak atau tidak kita terpaksa akui di mana mungkin pelbagai faktor semasa mahupun persekitaran yang menyumbang situasi ini oleh itu kami perlu memperkasakan setiap program bagi merapatkan jurang yang ada ini sekaligus melahirkan generasi belia yang lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui Suara Timur.
Asmad berkata, mengikut laporan Indeks Belia Malaysia(IBM) bagi tahun 2023 adalah pada 74.39 mata di mana ianya masih diukur pada tahap sederhana manakala bagi tahun 2024 dijangkakan akan diumum dalam masa terdekat.

“Indeks ini disediakan oleh Institut Penyeledikan Pembangunan Belia Malaysia sebagai penanda aras bagi memantau perkembangan kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menjelaskan, melalui program yang sedang berlangsung ini, JBSNT optimis mampu memberi penanda aras yang lebih bagi penilaian itu.

Tambahnya, penganjuran ini juga merupakan serampang dua mata buat JBSNT untuk dasar pintu terbuka kepada mana-mana pihak khususnya di peringkat belia bagi memanfaatkan semaksimum mungkin setiap fasiliti mahupun kemudahan yang disediakan di JBSNT ini.
“Sehingga kini, program Y-Hub Terengganu yang bermula sejak awal November ini berjaya menarik penyertaan seramai 787 belia keseluruhan dan dijangkakan jumlah penyertaan meningkat setelah musim cuti persekolahan akhir tahun bermula tidak lama lagi,” katanya. – Suara Timur
