Negeri

Dipukul bapa saudara dengan tukul: Selepas seminggu bertarung nyawa, Ammar akhirnya meninggal dunia

KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki yang parah akibat dipukul dengan tukul  oleh bapa saudaranya yang kemudian ditemui mati di Pantai Melawi, meninggal dunia petang ini.

Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, menghembuskan nafas terakhir jam 3.02 petang di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) selepas seminggu bertarung nyawa dan pemergian kanak-kanak itu dikongsikan ibu bapanya dalam hantaran status WhatsApp.

Muhammad Badrul Rameli, 31, dalam hantaran status menulis ‘Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar da (sudah) kembali ke negara asal…  sama-sama sedekahkan al-Fatihah,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dia juga berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anaknya sepanjang seminggu mendapatkan rawatan sejak kejadian malang itu.

“Terima kasih, meninggal jam 3.02 petang,” katanya ringkas ketika dihubungi kemudian.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, turut berkongsi berita pemergian anak sulungnya itu di hantaran status WhatsApp.

Nur Ayuni sebelum ini memaklumkan doktor meminta dia dan ahli keluarga untuk reda dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan selepas jantung Muhammad Ammar terhenti kira-kira 14 minit, pagi semalam.

Dalam kejadian Khamis lalu, pelajar Tahun Satu itu cedera parah di bahagian kepala selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya berusia 46 tahun di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. – Berita Harian

Related Posts