Negeri

Ibu, anak maut kemalangan di LPT2

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN :Seorang wanita dan anak lelakinya berusia lima tahun maut, sementara suaminya cedera parah selepas lori yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 362.9, Lebuhraya Pantai Timur 2, berhampiran Bukit Besi, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, Isnaini Mohd, 42, dan anak lelakinya, Muhammad Al Amin Khairul Syahmy,5, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala manakala suaminya, Khairul Syahmy Mat Hassan, 49, mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan, pasangan suami isteri itu yang bekerja di syarikat pembekal perkakasan elektrik sedang dalam perjalanan pulang ke Gong Badak, Kuala Terengganu selepas menghantar ‘chamber’ pembumian elektrik di Kuantan, Pahang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan selepas salah satu tayar lori itu pecah menyebabkan lori tersebut terbabas dan terbalik,” katanya kepada pemberita.

Maizura berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun manakala Khairul Syahmi turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Related Posts