Negeri

Beberapa laluan di daerah Kemaman ditutup sempena LTdL

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa laluan di daerah Kemaman akan ditutup secara berperingkat susulan Kejohanan Lumba Basikal Antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 pada 1 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, laluan perlumbaan  peringkat keempat itu akan melalui laluan Kilometer 103 hingga Kilometer 152 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dan Jalan Lama Kijal hingga Lampu Isyarat Eastern Steel, Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal.

Menurutnya, laluan membabitkan sejauh 54.1 kilometer itu akan ditutup secara berperingkat semasa acara berlangsung bermula pada 11 pagi hingga 3 petang.

LALUAN pelumba LTdL 2025 dari Kemaman ke Kuala Terengganu pada 1 Oktober ini.

“Perlumbaan itu melalui Paka – Kerteh – Kemasik – Kijal – Chukai (Taman Bandar Chukai Jalan Pandang).

“Bagi pengguna jalanraya yang ingin ke Dungun / Kuala Terengganu, mereka boleh menggunakan jalan alternatif Tol Chukai / Binjai – Lampu Isyarat Mak Chili – Jalan Rahmat (Lot 144) -Jalan Pengkalan Sir – Bukit Kuang / Dungun atau Kuantan / Geliga – Lampu Isyarat Sek. Men. Chukai – Jalan Bukit Mentok Lampu Isyarat Pema Jaya – Binjai / Tol Chukai dan juga atau Mak Chili Ibok / Dungun,

“Mereka yang hendak ke Bandar Chukai, mereka boleh menggunakan laluan Jalan Air Putih – Jalan Bukit Mentok – Taman Chukai Utama – Jalan Jakar Bandar Chukai,” tambahnya.

Matteo Malucelli melintasi garisan penamat peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sejauh 96.7 kilometer mengelilingi pulau peranginan itu, semalam.

Menurut Mohd Razi, penutupan secara kekal bagi Jalan Padang dan Jalan Padang bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang dan Kilometer 1 Jalan Air Putih serta Kilometer 152 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (hadapan Masjid Sultan Ahmad) ditutup bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan yang dirancang, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan pegawai bertugas dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan bagi melancarkan pergerakan semasa kejohanan berlangsung,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8591999. – Suara Timur

Related Posts