Negeri

Spesies burung dilindungi bernilai RM100,300 dirampas

KUALA TERWNGGANU: Pelbagai spesies burung dilindungi bernilai RM100,300 dirampas dalam serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), di sebuah premis di Kampung Getang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin, Asisten Komisioner Zulafendi Hassan berkata, dalam operasi kira-kira 1 tengah hari itu, pihaknya menemui 29 ekor burung pelbagai spesies yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Katanya, antara burung yang ditemui iaitu 18 ekor burung disyaki serindit, Bayan Puling (enam), Merbah Luris Leher (tiga), dan masing-masing seekor burung Murai Batu dan burung daun serta 14 unit sangkar.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM100,300 dan pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun mengakui kesemua hidupan liar itu adalah miliknya.

“Lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit khad daripada Perhilitan dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan memiliki, menyimpan dan memperdagangkan hidupan liar tanpa kebenaran adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman berat. – Harian Metro

Related Posts