KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu menahan tiga lelaki berusia antara 16 hingga 32 tahun berhubung video tular membabitkan penjualan disyaki air ketum.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, jam 7.45 malam, semalam sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kuala Terengganu, menahan van jenis Toyota Hiace di kawasan susur keluar Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan dua botol berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum dengan anggaran keseluruhan 600 mililiter.
“Ketiga-tiga suspek bukan berasal dari Terengganu dan dipercayai datang ke negeri ini sempena program RXZ Members 8.0.
“Siasatan awal turut mendapati air ketum yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari luar Terengganu untuk kegunaan mereka sepanjang berada di negeri ini sempena program berkenaan” katanya.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada mereka positif Methamphetamine, manakala seorang lagi negatif.
Katanya, turut dirampas sebuah van jenis Toyota Hiace serta kunci bersama alat kawalan jauh dan tiga lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 32 tahun.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kesemua suspek direman bagi membantu siasatan.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Dungun turut membuka kertas siasatan berhubung penularan video di media sosial yang memaparkan individu dipercayai menjual air ketum secara terbuka di kawasan susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu.
“Berdasarkan maklumat dan penelitian awal, pihak polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat hubung kait antara tangkapan di Kuala Terengganu dengan kejadian yang dirakam dalam video tular tersebut.
“Siasatan kini tertumpu kepada usaha mengenal pasti individu yang terlibat, mengesan sumber bekalan serta menentukan sama ada kedua-dua kejadian melibatkan individu atau rangkaian yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan pada masa ini. – Metro
