SUBANG JAYA: Tujuh mangsa, termasuk dua warga emas berjaya diselamatkan dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kebakaran masih berlaku setakat jam 10 pagi, namun pihak Petronas telah menutup injap saluran paip yang terbakar bagi mengawal keadaan.
“Api juga telah merebak ke beberapa rumah di sekitar kawasan kebakaran.
“Anggota bomba berjaya mengeluarkan tujuh orang mangsa, termasuk dua warga emas. Namun, jumlah keseluruhan mangsa serta skala kemerebakan api masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Md Razali, pihaknya telah menempatkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) di lokasi bagi mengawal sebarang risiko tambahan akibat kebocoran gas.
Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara, BBP Damansara, BBP KLIA, dan BBP Serdang.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.
Setakat ini, usaha pemadaman dan penyelamatan masih giat dijalankan. – Sinar Harian