SUNGAI SIPUT: Seorang lelaki maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di sini pada Isnin.
Mangsa, Zamberi Angah, 42, yang merupakan Orang Asli ditemukan tidak bernyawa di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lo
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya masuk ke kawasan hutan dalam Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan.
Difahamkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang sebelum anggota Unit Konservasi Hidupan Liar (UKHM) bersama kakitangan Perhilitan Sungai Siput bergegas ke lokasi.
Operasi pencarian bersama bermula kira-kira jam 6.30 petang dengan disertai anggota polis Balai Polis Lintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, kira-kira 30 penduduk kampung serta pekerja balak.
Mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 6.58 petang di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak.
Pemeriksaan di lokasi turut menemukan kesan gigitan pada tengkuk mangsa serta kesan makan pada bahagian lutut kanan sehingga paras pinggang.
Selain itu, kesan pergelutan, seretan, darah mangsa, tapak kaki harimau belang serta serpihan seluar dan stoking turut ditemukan di kawasan berkenaan.
Jarak antara lokasi dipercayai berlaku serangan dengan tempat mayat mangsa ditemukan dianggarkan kira-kira 200 meter.
Perkara itu turut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang merangkap Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurutnya, kejadian berkenaan amat memilukan dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga serta masyarakat setempat. – Sinar Harian
