Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan dan tiga buah kereta serta sebuah motosikal penduduk hangus dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Binjai, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.55 pagi.
Menurutnya, sebaik sahaja menerima lapuran, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan dua puluh lima anggota bersama tiga jentera.
“Sejurus tiba di lokasi, api sedang marak di bahagian depan dan parkir beberapa buah rumah teres berkenaan dan pihaknya mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba mendapati ada seorang mangsa melecur dalam lima peratus di kedua-dua belah tangan dihantar ke hospital terdekat.
“Lima daripada tujuh rumah berkenaan rosak teruk pada bahagian hadapan sementara sebuah rumah terbakar hampir 85 peratus,’ katanya
Beliau memberitahu, punca dan nilai kerugian keseuruhan mangsa terlibat masih dalam siasatan.
“Kita mengambil masa selama 50 minit untuk mengawal kebakaran dan keanggotaan kita terdiri daripada 25 orang termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman dan Bomba Sukarela Seberang Tayor,” ujarnya.

Sementara itu seorang mangsa yang ditemui Ahmad Zulwafi Mohd Sitara berkata, dia hanya menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jiran sebelah rumahnya.
“Ketika kejadian dia sedang tidur bersama isteri dan anaknya dan terus bergegas keluar melalui pintu belakang menyelamatkan diri dan keluar dari rumah berkenaan.
“Pada pukul 7.40 pagi hingga 7.45 pagi, seorang jiran telefon memberitahu saya bahagian depan rumah sudah dijilat api, saya cuba keluar melalui pintu hadapan tetapi api telah menyambar kereta Persona yang berada di hadapan pintu. Saya, isteri dan anak keluar melalui pintu belakang. Alhamdulillah kami semua selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima aduan kebakaran lebih kurang pukul 7.52 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi mengesahkan kebakaran dan membuat kawalan. – Suara Timur