ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan semakan semula tarif air yang dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan tidak akan membebankan pengguna dengan kadar kenaikan dijangka tidak melebihi lima sen bagi setiap meter padu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata permohonan rasmi sudah dibuat oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengikut mekanisme yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Saya tak pasti berapa sen, tapi saya rasa tak lebih daripada lima sen.
“Kadar minimum pun mungkin naik sikit, kali terakhir tarif air naik pun lebih 10 tahun lalu, sekitar 2011 atau 2012, kita tunggu kelulusan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Logo Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) ke-7 2025 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata lebih 60 peratus kos operasi SADA ketika ini tertumpu kepada bayaran bil elektrik, dengan jumlah tahunan mencecah RM128 juta.
Katanya, peningkatan tarif elektrik sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut memberi kesan langsung kepada kewangan operator air negeri.
“Kos operasi SADA paling tinggi adalah elektrik diikuti gaji tenaga kerja dan bahan kimia rawatan airdan penyelenggaraan infrastruktur.
“Kalau tarif elektrik naik dan operator tak boleh naikkan tarif air, mereka akan tertekan. Contohnya SADA bayar RM128 juta setahun untuk bil elektrik saja…ini 60 peratus kos operasi, bila elektrik naik tiap tahun tapi air tak boleh naik, itu menekan operator,” katanya.
Menurut beliau, situasi ini tidak hanya berlaku kepada Kedah sebaliknya turut dihadapi oleh kebanyakan operator air di seluruh negara yang terpaksa menanggung beban kos rawatan air dan penyelenggaraan infrastruktur bekalan secara berterusan.
Muhammad Sanusi turut menyentuh struktur kawal selia yang dilaksanakan menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) apabila aset bekalan air negeri sudah dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagai sebahagian usaha penyusunan semula hutang air negeri.
“Dulu Kedah ada hutang air RM2.3 bilion, selepas WSIA, semua aset ambil alih PAAB dan kerajaan negeri hanya bayar sewa pajakan yang dikira sebagai bayaran hutang balik. Operator air pula mesti 100 peratus milik kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata di bawah WSIA, mana-mana syarikat swasta tidak boleh mengambil alih syarikat operator air negeri justeru dakwaan kononnya kerajaan negeri bercadang melepaskan pegangan dalam SADA adalah tidak berasas.
“Bila ada pihak nak ambil alih SADA, kita tak bagi. Bukan sebab tak nak, tapi undang-undang memang tak benarkan,” tegas beliau. – Harian Metro