Negeri

Dakwaan Maritim Malaysia serbu Masjid Rusila tidak benar

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya pasukan elit Maritim Malaysia melakukan serangan di
Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi
menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan
elit negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai
lokasi serbuan atau operasi.

“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan
taktikal pasukan khas kami,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, latihan yang dimaksudkan ialah modul Survival, Evasion, Resistance
and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat
(STAR Team), latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin, dan
kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan
misi penyamaran.

Bagaimanapun, katanya, masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada
sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,”
katanya.

Beliau turut menjelaskan, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar
sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.

MARITIM Malaysia menafikan dakwaan kononnya melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang.

Malah ujar beliau, elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para
pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat
kuasa dan operator pasukan khas.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, isu laporan polis yang timbul,
telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan
memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau lagi.

Mohd Rosli menegaskan, dakwaan itu merupakan satu fitnah yang berniat jahat terhadap Maritim Malaysia.

Tambah beliau, mengesahkan aktiviti tersebut kawalan jurulatih kanan dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi yang ketat. – Suara Timur

Related Posts