,BESUT: Tidak pernah terlintas di fikiran waris keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban mereka akan berkumpul untuk menyambut Aidilfitri bersama tahun ini.
Bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif iaitu Rosdi Yunus, 57, berkata, sebelum ini walaupun ramai pelajar UPSI tinggal di daerah Besut namun tidak semua keluarga saling mengenali.
Katanya, namun tragedi mengorbankan 15 pelajar membabitkan kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak pada Jun tahun lalu mengubah segalanya.
“Kami antara 15 keluarga pelajar terkorban serta beberapa keluarga pelajar yang tercedera kini seolah-olah menjadi sebuah keluarga besar saling berhubung dan bertanya khabar.
“Ini kali pertama saya mengambil inisiatif untuk menganjurkan sendiri program dengan kerjasama pihak Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri serta pejabat Dewan Undangan (DUN) Hulu Besut bagi menghimpunkan keluarga besar ini,” katanya ketika ditemui di Perumahan Bukit Cina, Kampung Pasir Akar, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin.
Katanya, 11 daripada 15 keluarga pelajar terkorban termasuk tiga keluarga pelajar yang tercedera berkesempatan untuk hadir.
“Pertemuan secara bersemuka ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kami serta mudah untuk saling memberi sokongan antara satu sama lain.
“Hari raya Aidilfitri tahun ini juga disambut secara ala kadar tidak seperti tahun sebelumnya meriah disambut seisi keluarga,” katanya.
Sementara itu, Maliaman berkata, pertemuan lebih besar membabitkan semua waris pelajar UPSI yang terbabit dengan tragedi itu akan dilaksanakan pada 9 Jun depan.
Katanya, tarikh itu sempena genap setahun bagi memperingati nahas kemalangan maut hingga mengorbankan 15 pelajar.
“Lokasi majlis di rumah salah satu waris keluarga terbabit dan kita akan minta surat pelepasan daripada UPSI untuk membenarkan pelajar yang cedera sebelum ini dibenarkan pulang pada tarikh berkenaan.
“Dua mangsa kemalangan UPSI iaitu Tuan Muhammad Adham Tuan Adnan, 22, dan Ain Najwa Mohd Ilias, 24 yang dipilih menjadi anak angkat Kerajaan Terengganu terus menerima bantuan tunai RM 500 setiap bulan sehingga tamat pengajian,” katanya.
Katanya, Adham dipilih kerana kedua-dua orang tuanya adalah kategori susah serta Orang Kurang Upaya (OKU) manakala Ain Najwa anak yatim serta juga daripada keluarga susah. – Metro
