KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pengesahan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Benar (Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN),” katanya ringkas kepada Harian Metro.
Difahamkan, Muhyiddin memaklumkan mengenai peletakan jawatan itu, melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, pada jam 10.30 malam tadi.
Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pelbagai desakan pemimpin Pas terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN susulan krisis politik di Perlis, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Muhyiddin telah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai satu tindakan yang bijak dan tepat oleh Muhyiddin, dalam situasi PN memerlukan momentum baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baru.
“Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Beliau juga menyatakan rombakan terhadap organisasi PN sudah pasti akan dilakukan bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini.
“Tahniah Tan Sri Muhyiddin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi PN yang baru,” katanya.
Sebelum ini, berlakunya kemelut politik di Perlis selepas berlegar dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Tiga ADUN dari Pas itu ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji, sebelum keahlian mereka daripada parti terbabit digugurkan dan pada Khamis lalu Mohd Shukri meletak jawatan sebagai Menteri Besar atas alasan kesihatan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kemudian berkenan melantik ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
Bagaimanapun, selepas pelantikan Menteri Besar baharu itu, beberapa pemimpin Pas dilihat menyindir dan mengkritik Bersatu.
Antaranya Ahmad Fadhli yang menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara Pas dengan Bersatu.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula beranggapan parti itu layak mengambil alih dan mengetuai PN selepas isu yang berlaku di Perlis.
Ini kerana katanya, rakan Pas iaitu Bersatu gagal mengawal ADUN mereka menandatangani SD menolak Mohd Shukri. – Metro
