Home PolitikProjek fidlot Kerajaan Kedah: Ahli Parlimen Padang Serai sahkan ditahan SPRM

Projek fidlot Kerajaan Kedah: Ahli Parlimen Padang Serai sahkan ditahan SPRM

oleh suara timur

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengesahkan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan pertuduhan berhubung projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.

Walaubagaimanapun beliau tampil mempersoalkan tindakan pertukaran statusnya daripada saksi kepada tertuduh dalam kes tersebut.

Menurutnya, beliau sebelum ini dipanggil ke SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan berkaitan projek feedlot di bawah Kedah Agro.

Beliau kemudiannya dihubungi pagi Khamis oleh pegawai penyiasat SPRM Kedah sebelum diminta bertemu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh arah utara, sebelum dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur.

banner

“Saya dimaklumkan bahawa saya bukan lagi hadir sebagai saksi, tetapi sebagai individu yang akan dituduh di mahkamah. Perkara ini berlaku begitu cepat.

“Saya melihat tindakan ini berkemungkinan mempunyai pengaruh politik yang cuba mencemarkan imej saya sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatkan di laman media sosialnya pada Jumaat.

Azman turut mendakwa dua lagi individu akan dituduh bersama beliau di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini, berdasarkan makluman pegawai penyiasat SPRM.

Beliau bagaimanapun menegaskan akan hadir ke mahkamah pada jam 8.30 pagi untuk mendengar pertuduhan terhadapnya dan berjanji untuk mempertahankan diri mengikut saluran undang-undang.

“Saya bersedia hadapi pertuduhan dan kita akan lawan di mahkamah,” ujarnya.


Azman mendakwa apa yang berlaku terhadapnya adalah pendakwaan terpilih selepas membuat ulasan di media sosialnya berkenaan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah. – Sinar Harian

Tinggalkan komen