Sukan

JDT juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut

JOHOR BAHRU: Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut apabila menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan itu dilihat bermula garang sebaik wisel permulaan dengan asakan bertali arus ke gawang skuad The Bos Gaurus dalam usaha meledak jaringan pembukaan.

Minit ke-23, kapten Harimau Selatan, Jordi Amat hampir menjaringkan gol namun rembatannya sekali lagi diselamatkan Haziq sebelum tandukannya pada minit ke-27, hanya sedikit tinggi melepasi palang gol.

Minit ke-39, menyaksikan giliran penyerang import, Jorge Obregon untuk meledak jaringan namun rembatannya sekadar menggegarkan tiang gol.

Bagaimanapun, bekas pemain Real Madrid, Jese Rodriguez menggamatkan stadium apabila meledak jaringan pembukaan pada masa kecederaan babak pertama.

Babak kedua menyaksikan, JDT semakin hebat mengasak ke pintu gol Perak FC dalam usaha menambah jaringan.

Namun asakan-asakan jentera serangan Harimau Selatan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.

Akhirnya pintu gol Perak FC bolos buat kali kedua, hasil sepakan penalti yang disempurnakan Jorge Obregon pada minit ke-64.

Penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan dan menyaksikan kedudukan 2-0 memihak JDT kekal hingga ke wisel penamat. – Sinar Harian

Related Posts