Home PolitikBersatu teliti kenyataan Presiden Pas

Bersatu teliti kenyataan Presiden Pas

oleh suara timur

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneliti dan membincangkan secara mendalam kenyataan yang dibuat oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung hubungan serta kerjasama antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut dalam mesyuarat Biro Politik serta Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan, Bersatu memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh kepimpinan tertinggi Pas itu pada Jumaat.

“Bersatu berpandangan bahawa setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama.

banner

“Langkah ini penting demi memperkukuhkan lagi perpaduan dalam saf kepimpinan dan anggota Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan dikongsi di laman Facebooknya pada Jumaat.

Sebelum ini, isu melibatkan dinamika dan hala tuju kerjasama antara Bersatu dan Pas di bawah payung PN menjadi perhatian ekoran beberapa kenyataan yang dibangkitkan oleh kepimpinan parti sekutu tersebut.

Hubungan Pas dan Bersatu dalam PN ibarat retak menanti belah apabila parti Islam itu kini sedang mengkaji dan meneliti satu persatu percanggahan serta tindakan negatif dilakukan oleh rakan sekutunya itu.

Pada Jumaat, Abdul Hadi mendakwa, tindakan Bersatu menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.

Menurut beliau, Pas mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui pihak berkenaan.


Diminta mengulas lanjut sama ada Pas akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika tiada kata sepakat dicapai, Abdul Hadi menegaskan parti itu tidak akan bersendirian memandangkan Pas masih memegang peranan sebagai pengerusi PN. – Sinar

Tinggalkan komen