JEMPOL: Tiada keperluan untuk BERSATU membubarkan parti itu dan menyertai UMNO seperti yang dicadangkan oleh Veteran UMNO, kata Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, BERSATU bukanlah bekas UMNO dan tiada keperluan untuk parti itu berbuat demikian.
” Kenapa minta bubarkan BERSATU, kita (BERSATU) bukan ex-UMNO malah BERSATU mempunyai kerusi Parlimen paling banyak berbanding UMNO. Tidak kurang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“BERSATU juga sudah membentuk Perikatan Nasional (PN), begitu juga negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah PN, kenapa perlu bubar?
“PN pula wujud sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah dari segi undang-undang dan kita tiada masalah dalam hal berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Penyelaras Perikatan Nasional (PN) DUN Jeram Padang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, Ketua Armada Muhammad Hilman Idham dan Penyelaras DUN Jeram Padang R Sri Sanjeevan.
Muhyiddin berkata, BERSATU juga berdiri dengan prinsip asas perjuangan untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
Katanya, biarpun ada yang mendakwa dahulu BERSATU juga bekerjasama dengan DAP, tapi ia tidak lama kerana BERSATU mengambil keputusan untuk tinggalkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Soalan saya pula, kenapa UMNO saja tidak dibubarkan dan masuk BERSATU,” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan begitu sahaja disebabkan ia perlu dibincang dalam biro politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan PN.
“Ada beberapa isu rumit yang perlu dibincang dan ia tidak semudah itu untuk dijadikan kenyataan walaupun secara prinsipnya BERSATU bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi perjuangan yang sama,” katanya. – Berita Harian