Negara

UPSI perluas jangkauan antarabangsa melalui penganjuran Global Educator Award — Zambry

Oleh BAZLI RAZAK

TANJONG MALIM:  Penganjuran Global Educator Award dan Great Teacher Summit oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disifatkan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh usaha pengantarabangsaan Institusi Pendidikan Tinggi negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja mengangkat reputasi UPSI sebagai universiti pendidikan terulung di negara ini, malah berpotensi menempatkannya di peta dunia sebagai pusat rujukan dalam bidang pendidikan.

“Saya nak sebutkan bahawa ini adalah satu usaha ke arah pengantarabangsaan institusi-institusi pendidikan tinggi kita.

“UPSI dengan sejarah lebih 100 tahun sewajarnya mengambil peluang mengantarabangsakan nilainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Global Educator Award and Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam ini.

DR Zambry bergambar bersama lima orang penerima anugerah Global Educator Award di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. –  SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Zambry berkata, penganjuran julung kali anjuran UPSI itu mendapat sambutan luar biasa dengan penglibatan pendidik dari lebih 50 negara, sekali gus menunjukkan pengiktirafan terhadap kepakaran universiti berkenaan.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan meneliti bantuan yang boleh disalurkan bagi memperkasa program tersebut pada tahun hadapan termasuk menambah kategori baharu bagi setiap peringkat pendidikan.
Zambry turut menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi untuk terus mempromosikan program berkenaan di peringkat global sebagai sebahagian usaha memartabatkan pendidikan tinggi Malaysia di persada dunia.

“Sebagai contoh, boleh diperluaskan daripada kategori pendidikan kanak-kanak, prasekolah, pendidikan rendah, menengah, tinggi hinggalah ke universiti. Jadi mulai tahun hadapan, UPSI akan lebih meriah dengan acara antarabangsa seperti ini,” ujar beliau.

DR Zambry ketika berucap sempena Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. –  SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Pada majlis itu, Zambry turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Global Educator Award 2025 yang terdiri daripada lima kategori utama. Anugerah Inspiring Educational Leader dimenangi oleh Madam Cheah Gaik Imm dari SJKC Chung Hwa Langkawi, Malaysia, manakala Prof. Julio Manuel Pereyra diumumkan penerima Community Outreach Educator Award.

Kategori Transforming Educational Institution Award pula diberikan kepada African Leadership Academy dari Afrika Selatan, manakala Esteemed Teacher Educator Award dimenangi oleh Prof. Dr Pasi Sahlberg dari University of Melbourne, Australia. Bagi kategori Avant-Garde Teacher Award, anugerah tersebut diterima oleh Mr. Deep Narayan Nayak, yang dikenali sebagai Teacher of the Streets dari India.

DR Zambry bergambar bersama tetamu dan pelajar UPSI yang hadir sempena Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. –  SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran GEA merupakan hasil visi jauh Menteri Pendidikan Tinggi yang mempercayakan UPSI untuk melaksanakan inisiatif berskala global tersebut.

“Anugerah berprestij ini pada asalnya merupakan idea visi jauh oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir,” jelasnya.

Beliau berkata, program yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu menghimpunkan peserta, diplomat dan finalis dari lebih 50 negara termasuk Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Jepun, Iran, Pakistan, Singapura, Indonesia, Filipina, Botswana dan Malaysia.

DR Md Amin ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Global Educator Award dan Great Teacher Summit di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. –  SUARA TIMUR/BAZLI RAZAK

Md Amin berkata, sebanyak 244 pencalonan daripada 57 negara diterima bagi edisi pertama ini, dengan 16 finalis terbaik daripada 10 negara dipilih untuk lima kategori utama yang meraikan kepelbagaian impak pendidikan.

Beliau menambah, setiap anugerah yang disampaikan membawa identiti dan simbolik Malaysia melalui reka bentuk trofi bertema seperti Pucuk Rebung, Ombak Laut, Benang Emas, Bunga Teratai dan Tampuk Manggis, yang melambangkan pertumbuhan, tenaga dan perpaduan dalam dunia pendidikan.

“Keunikan GEA bukan sahaja mengangkat martabat UPSI, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dalam bidang pendidikan.

“Dengan lebih 10,000 peserta terlibat, anugerah ini telah menempatkan UPSI dan Malaysia secara kukuh di peringkat global,” katanya. – Suara Timur

Related Posts