Negara

KPKT belanja RM50 juta bangun dua projek landskap di Terengganu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membelanjakan sebanyak RM50 juta bagi pembangunan dua projek landskap di negeri Terengganu pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek itu merupakan Projek Pembangunan Landskap Perbandaran Dungun yang bernilai RM30 juta dan Projek Taman Awam Kuala Kerteh menelan belanja  RM20 juta.

Menurutnya, pada tahun 2025, Kerajaaan Persekutuan melalui KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu bagi pelaksanaan projek Taman Rekreasi Madani di negeri ini.

Katanya, peruntukan ini dijangka memberi impak positif terhadap pemerkasaan ruang hijau dan penambahbaikan kawasan rekreasi di seluruh negeri Terengganu.

“Diharapkan semua PBT negeri Terengganu yang memperolehi peruntukan ini dapat memastikan projek disiapkan dengan sempurna supaya dapat memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat.

“Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah ini telah siap sepenuhnya pada tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Santuari Kelip-Kelip bertempat di Santuari Kelip-Kelip, Kg. Kak Yah, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

Beliau nenberitahu, pembangunan Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah ini bagi tujuan pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai.

Katanya, projek ini dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Program Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

“Projek itu dibangunkan berdasarkan dapatan kajian menyeluruh oleh kumpulan pakar merangkumi arkitek landskap, pakar entomologi (kelip-kelip), jurutera serta ahli profesional berkaitan demi menjamin keseimbangan antara keperluan ekologi, teknikal dan aspek pelancongan lestari.

“Santuari ini diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia, khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, iaitu sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak, menjadikan fenomena ini amat jarang ditemui dan menjadi tarikan kepada peminat alam semula jadi serta pelancong eko,” ujarnya.

Menurut Aiman Athirah, Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah bukan sahaja simbol pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga peluang untuk menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari.

Tambahnya, usaha ini seharusnya dijadikan contoh bagaimana keindahan landskap semula jadi boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip ini, jelasnya, sejumlah 200 pokok bakau, 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah telah ditanam sepanjang Sungai Chukai.

Katanya, projek ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam.

Lebih menarik lagi, saya juga dimaklumkan bahawa Projek Santuari Kelip Kelip Kampung Yak Yah telah dinamakan untuk dua pengiktirafan dalam Malaysia Landscape Architecture Awards Tahun 2025 anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) di bawah kategori Government Green Initiative Awards dan Landscape Design Awards. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.

“Selain menjadi destinasi pelancongan, santuari ini juga berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan.

“Pelancaran projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KPKT melalui JLN untuk memelihara kawasan ekosistem penting dan memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar bertaraf antarabangsa,” katanya. Suara Timur

Related Posts