Negara

BNM turunkan OPR kepada 2.75 peratus

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Seiring dengan itu, kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus.

Ini adalah kali pertama bank pusat menurunkan OPR selepas mengekalkan kadar itu sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

“Petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan pada tahap tertentu, aktiviti yang diawalkan.

“Unjuran pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang positif, dasar monetari yang kurang ketat serta rangsangan fiskal.

“Namun begitu, prospek ini masih dibayangi ketidaktentuan berhubung perkembangan tarif dan ketegangan geopolitik. Ketidaktentuan ini juga boleh membawa kepada peningkatan turun naik dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BNM berkata, bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang berterusan pada suku kedua, yang didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan eksport.

Melangkah ke hadapan, pertumbuhan dijangka terus disokong oleh daya tahan permintaan dalam negeri.

“Pertumbuhan pekerjaan dan upah, khususnya dalam sektor yang berorientasikan domestik, serta langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan aktiviti pelaburan akan terus didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, tahap pelaksanaan pelaburan yang diluluskan yang tinggi secara berterusan, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang sedang berjalan,” katanya.- Berita Harian

Related Posts