Negara

A-18D Hornet TUDM musnah sepenuhnya

KUANTAN: Pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia F/A-18D Hornet musnah sepenuhnya akibat insiden di Pangkalan Udara Kuantan di sini, malam tadi, kata Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam tadi, juruterbang berpangkat Mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata pesawat berpangkat Kapten berusia 28 tahun, sempat keluar dari pesawat sebelum jet pejuang itu meletup dan terhempas.

Katanya, kedua-dua pegawai TUDM terbabit terselamat dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, 2 pagi tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa hanya cedera ringan kini ditempatkan sementara di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Pangkalan Udara Kuantan.

“Lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pesawat TUDM.

“Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini, ditutup sementara bagi dilakukan kerja pembersihan landasan terbabit dilakukan.

“Ketika ini TUDM sedang membuat pemeriksaan dan membersihkan di sekitar lokasi pesawat terbabit terhempas. Selepas dipastikan selamat dan kerja pembersihan dilakukan,lapangan terbang ini dijangka dibuka selepas jam 1 tengah hari nanti,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, hari ini.

Muhamad Norazlan sebelum itu meninjau lokasi pesawat terbabit terhempas dan bertemu dua mangsa kemalangan jet pejuang terbabit.

Dalam kejadian 9.05 malam tadi, pesawat F/A-18D Hornet terhempas sebaik berlepas di landasan lapangan terbang terbabit.

Susulan kejadian itu juga, tular di media sosial gambar dan video kebakaran di landasan lapangan terbang berkenaan. – Harian Metro

Related Posts