PUTRAJAYA: Terengganu muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pencapaian itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan sosial yang tinggi di negeri berkenaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, Johor berada di tempat kedua dengan skor 8.08, manakala Negeri Sembilan di kedudukan ketiga dengan 8.01.
“Kluang, Johor mencatatkan skor kebahagiaan tertinggi di seluruh negara iaitu 9.83, diikuti Raub, Pahang (9.52) dan Mersing, Johor (9.50).
“Sebanyak 36 daerah di seluruh negara turut direkodkan berada dalam kategori sangat bahagia dengan skor antara 8.02 hingga 9.83,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, ini adalah kali pertama laporan MHI diterbitkan secara terperinci sehingga ke peringkat negeri dan daerah, membolehkan penilaian kebahagiaan dilakukan secara lebih bersasar berpandukan realiti lokaliti.
“MHI 2024 dibangunkan berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kebahagiaan melalui empat dimensi utama iaitu fizikal, sosial, emosi dan spiritual,” katanya.
Jelas Mohd Uzir, sebanyak 94 indikator dirangkumkan kepada 13 komponen kebahagiaan, menjadikan indeks ini alat statistik sosial yang komprehensif dan berimpak tinggi dalam menilai kualiti hidup rakyat.