JOHOR BAJRU: Warga emas yang mempunyai 14 rekod lampau jenayah dan dadah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, lelaki tempatan berusia 63 tahun terbabit dilaporkan terlebih dulu melepaskan tembakan ke arah polis yang menahannya untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang menjalankan rondaan menggunakan dua kenderaan polis.
“Anggota polis mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek di sini, dalam keadaan mencurigakan.
“Polis kemudian mengekori dan berjaya menahan motosikal itu di kawasan berhampiran.
“Ketika anggota polis hendak keluar bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Kumar berkata, lelaki itu terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, polis menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berhampiran suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi sama.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod bawah Akta Senjata 1960 dan satu rekod masih dikehendaki polis.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Pada masa sama, Kumar menyeru orang ramai supaya konsisten menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah serta dadah di lokaliti masing-masing dalam membantu polis memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terjamin. – Harian Metro