KOTA KINABALU – Ribuan orang menghadiri himpunan solidariti buat Zara Qairina di beberapa lokasi di negeri ini pada malam Jumaat.
Himpunan itu difahamkan bermula sekitar jam 7 malam dengan jumlah kehadiran terus bertambah sebagai tanda sokongan serta solidariti terhadap Zara Qairina.
Peserta himpunan turut melaungkan slogan menuntut keadilan selain menyatakan harapan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam insiden buli sehingga mengorbankan nyawa pelajar Tingkatan Satu itu.
Difahamkan, himpunan serupa turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi lain termasuk di Lahad Datu dan Tawau.
Penganjur menyatakan himpunan ini diadakan secara aman dan menyeru orang ramai terus bersatu menyuarakan keadilan buat Zara Qairina.
Sementara itu, di Lahad Datu suasana turut sesak dihadiri orang ramai yang hadir untuk menyatakan sokongan dan menuntut keadilan terhadap Zara Qairina
Tinjauan menerusi siaran langsung di Lahad Datu memaparkan peserta melaungkan takbir ‘Allahuakbar’ dan ‘Justice for Zara’, selain diikuti bacaan puisi serta lagu mengenang pemergian Zara Qairina.
Dalam kejadian 16 Julai lalu, Zara Qairina Mahathir yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. – Sinar Harian