Negara

‘Kapal hantu’ ditunda ke KSB jalani pemeriksaan keselamatan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Sebuah ‘kapal hantu’ yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, ditunda ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di sini untuk menjalani pemeriksaan keselamatan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Mazlan Mat Rejab berkata, proses menunda kapal itu mengambil masa lebih dua hari pada kelajuan purata kapal sekitar 3.5 knot dan menempuh perjalanan sejauh 140 batu nautika.

Menurutnya, kapal hantu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kapal tangki terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor pada 6 Ogos lalu.

“Kapal ini akan menjalani pemeriksaan keselamatan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu dan Pahang terlebih dahulu untuk pemeriksaan keselamatan di atas kapal sebelum tindakan lanjut diambil.

“Selepas pemeriksaan oleh pasukan Hazmat, pasukan penyelamat lain termasuk polis akan masuk ke dalam kapal itu untuk membuat pemeriksaan lain termasuk sekiranya terdapat mangsa di dalam kapal itu sebelum siasatan penuh dijalankan,” katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim Zon Kemaman, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, operasi bersepadu menunda kapal itu membabitkan seramai 62 anggota pelbagai agensi keselamatan, industri minyak dan gas termasuk Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan, Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur dan Petronas.

“Kapal tersebut berisiko tinggi mengancam keselamatan pelantar minyak dan laluan perkapalan serta boleh mencetuskan bencana besar jika dibiarkan hanyut terus di laut,” katanya.

Mazlan berkata, terdahulu Helikopter Dauphin AS 365 N3 telah digerakkan bagi memantau pergerakan kapal hantu tersebut dan keselamatan pasukan di laut.

“Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia telah diterbangkan menggunakan pesawat Helikopter Westar AW139 dari Kerteh ke Platform Larut.

“STAR Team berjaya menaiki kapal hantu dan melaksanakan pemasangan tali tunda sebelum dipindahkan kepada kapal penyelamat MV JM Purnama dan menunda kapal tersebut ke KSB,” katanya.

Pada 7 Ogos, media melaporkan seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kapal tangki asing di kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, dekat Perairan Johor Timur, Kota Tinggi, yang berlaku sehari sebelum itu. – Suara Timur

Related Posts