SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana disyaki menggunakan wang milik MPKK untuk kegunaan peribadi.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2023 dengan mengeluarkan kira-kira RM10,000 daripada akaun bank milik MPKK bagi tujuan peribadi,” katanya, hari ini.
Sumber berkata, wang dalam akaun itu adalah dana geran daripada kerajaan negeri yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan projek atau program di kampung itu, selain menggerakkan pembabitan komuniti setempat.
Katanya, susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi dan perintah reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 April dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Berita Harian