Negara Politik

Syukur, Abdul Hadi kembali sampaikan kuliah dhuha

MARANG: Walaupun masih dalam fasa pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Jun lalu, namun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap gagahkan diri
menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Kehadiran Abdul Hadi ke kuliah pagi Jumaat disambut penuh rasa syukur oleh masyarakat setempat dan ribuan anak murid yang hadir.

Ia memberi mesej yang kuat bahawa peranan ulama dalam masyarakat perlu terus hidup dan berfungsi.

Sementara itu, menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, disiplin dan komitmen Tuan Guru dalam menyebarkan ilmu berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

“Bagi Tuan Guru, menyampaikan ilmu adalah satu amanah yang berterusan. Ia bukan hanya tugas harian, tetapi ibadah yang berpanjangan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika mengulas berkenaan kehadiran semula Tuan Guru ke rutin mingguan beliau. 

Ahmad Samsuri turut mendoakan agar Abdul Hadi dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus membimbing dan mendidik umat dengan ilmu dan hikmah.

Kuliah duha menjadi rutin mingguan Abdul Hadi setiap Jumaat sejak berpuluh tahun lalu dan kali terakhir beliau menyampaikannya adalah pada 30 Mei lepas.

Sepanjang ketiadaannya, kuliah duha di Masjid Rusila disampaikan secara bergilir termasuk oleh anaknya, Dr. Muhammad Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu serta Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ismail Osman. – Suara Timur


Related Posts