Mahkamah dan Jenayah Negara

Isteri orang dicekup khalwat dengan rakan lelaki

KULIM: Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan rakan lelakinya di sebuah hotel bajet, Lunas, di sini, awal pagi hari ini.

Wanita berusia 33 tahun dan mempunyai tiga anak itu dipercayai sanggup datang dari Pahang untuk bertemu dengan kekasihnya yang berusia 30 tahun itu di sini.

Dia yang bekerja di sebuah kedai makan di Jengka, Pahang itu mendakwa mengenali teman lelakinya yang masih bujang itu kira-kira tujuh tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sepupunya.

Bagaimanapun, selepas itu hubungan mereka terputus, selepas wanita itu berkahwin, namun berpaut kembali baru-baru ini selepas sepupu wanita itu memberi nombor telefon lelaki berkenaan.

Lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech, dekat sini.

Namun, suami wanita terbabit berusia 30-an yang datang bersama ahli keluarganya berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel bajet berkenaan, dan menghubungi penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, tangkapan oleh pihaknya dilakukan pada 3.40 pagi hari ini.

Beliau berkata, wanita itu memberi alasan sudah lama tidak bertemu teman lelakinya itu dan mempunyai masalah dengan suaminya.

“Ketika serbuan, lelaki itu hanya memakai seluar denim tanpa baju, manakala wanita itu berpakaian lengkap tanpa tudung.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat. – Metro

Related Posts