Negara

PM arah segera selesai isu bekalan beras tempatan

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarahkan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sedang menerima perhatian rakyat.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, arahan tersebut diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada kementerian terbabit.


“Insya-Allah pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa. 

“Perdana Menteri juga mengarahkan kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul turut mengulangi pengumuman Anwar berhubung rang undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.

“Insya-Allah RUU ini akan memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawabnya dengan lebih bebas.

“Perdana Menteri yakin RUU ini mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran kerajaan Madani,” katanya. – Utusan

Related Posts