Negara

Bumi berputar lebih laju hari ini

LONDON – Saintis-saintis menjangkakan bahawa hari ini (9 Julai) berkemungkinan menjadi hari paling singkat dalam sejarah apabila putaran Bumi dijangka bertambah laju melebihi kadar biasa, lapor portal berita MailOnline semalam.

Kajian mereka mendapati bahawa tiga hari musim panas tahun ini iaitu pada 9 Julai, 22 Julai dan 5 Ogos akan menjadi antara hari-hari paling singkat.

Ia diramal lebih pendek sekitar 1.3 milisaat hingga 1.51 milisaat berbanding hari biasa.

Fenomena itu berlaku berikutan putaran Bumi semakin pantas dalam beberapa tahun kebelakangan ini, satu perubahan yang mula dikesan para saintis melalui jam atom sejak tahun 2020 dan 2022.

Meskipun puncanya masih belum dikenal pasti sepenuhnya, saintis-saintis berpendapat bahawa beberapa faktor mungkin menyumbang kepada pusingan Bumi yang semakin laju.

Antaranya adalah perubahan atmosfera, pencairan ais glasier, pergerakan dalam teras Bumi serta kelemahan medan magnet yang semakin ketara.

Bumi lazimnya mengambil masa sekitar 24 jam atau lebih tepat selama 86,400 saat untuk melengkapkan satu putaran penuh pada paksinya. 

Putaran Bumi sebenarnya tidak pernah benar-benar stabil dan ia sentiasa berubah sedikit demi sedikit. Ada masanya, ia berputar beberapa milisaat lebih laju atau lebih perlahan.

Rekod hari terpantas setakat ini berlaku pada 5 Julai 2024 apabila putaran Bumi mencatatkan kelajuan luar biasa, 1.66 milisaat lebih laju daripada tempoh 24 jam biasa. – Kosmo

Related Posts