KUALA LUMPUR: Tahun 2025 menyaksikan seramai 19 rakyat Malaysia tersenarai dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes, dengan jumlah kekayaan terkumpul sebanyak AS$57.3 bilion.
Tokoh korporat utama seperti Robert Kuok, Tan Sri Quek Leng Chan dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary terus mendominasi carta, mewakili pelbagai industri utama dari logistik, hartanah hingga peruncitan moden.
Menurut majalah perniagaan terkemuka itu, Robert Kuok, 101, mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$12.1 bilion.
Tokoh perniagaan ini memiliki empayar dari minyak sawit, gula hingga perhotelan, termasuk kepentingan dalam kumpulan Shangri-La dan Wilmar.
Manakala, Syed Mokhtar, hartawan berprofil rendah namun berpengaruh besar, kekal dalam kelompok 10 individu terkaya Malaysia dengan nilai kekayaan AS$2.2 bilion.
Syed Mokhtar terkenal sebagai tokoh korporat Melayu yang memiliki rangkaian perniagaan dari pelabuhan, logistik, automotif, pembinaan, hingga kepada pendidikan melalui Yayasan Albukhary.
Selain itu, antara kejutan utama tahun ini ialah kemunculan Lee Thiam Wah, pengasas 99 Speed Mart, yang kini menjadi individu keempat terkaya Malaysia dengan nilai AS$3.7 bilion, selepas syarikatnya disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2024.
Anak-anak kepada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow daripada Public Bank juga masing-masing tersenarai dengan nilai kekayaan AS$1.6 bilion. – Harian Metro
Hartawan Malaysia dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes
1. Robert Kuok (AS$12.1 bilion)
2. Quek Leng Chan (AS$9.9 bilion)
3. Koon Poh Keong (AS$4.2 bilion)
4. Lee Thiam Wah (AS$3.7 bilion)
5. Jeffrey Cheah (AS$3.5 bilion)
6. Lee Yeow Chor (AS$3.1 bilion)
7. Lee Yeow Seng (AS$2.3 bilion)
8. Syed Mokhtar AlBukhary (AS$2.2 bilion)
9. Lim Kok Thay (AS$1.8 bilion)
10. Kie Chie Wong (AS$1.7 bilion)