Negara

2.77 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya utama sempena Aidilfitri ini

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri.

LLM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 2.1 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS, diikuti Lebuhraya KL-Karak (216,000), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (176,000), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (156,000) dan LPT2 (70,000) pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.

“Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota menuju ke arah pantai timur, utara dan selatan tanah air dijangka menunjukkan peningkatan bermula hari ini, mengambil kira cuti sekolah tambahan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2 hingga 4 April ini.

“Manakala aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan bermula 5 dan 6 April,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan, LLM mengambil beberapa langkah antaranya memastikan tiada penutupan lorong syarikat konsesi lebuh raya, kecuali bagi kerja kecemasan bermula 24 Mac hingga 7 April ini.

Selain itu, laluan laluan smart lane turut diaktifkan di 28 lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS dan pengguna yang melalui jajaran yang terlibat, boleh menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan serta dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan. – Sinar Harian

Related Posts