Negara Politik

Pengalaman PRK Sg Bakap panduan di Ayer Kuning

PENGKALAN CHEPA:  PAS yakin pengalaman gerak kerja dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pulau Pinang sebelum ini akan menjadi panduan berguna untuk menghadapi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.

Naib Presiden PAS, Datuk Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, strategi yang terbukti berkesan di Sungai Bakap akan diadaptasi dengan penyesuaian mengikut keperluan setempat di Ayer Kuning.

“Kita akan guna pengalaman dan strategi dengan ubah suai mengikut keadaan setempat insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mohd Amar turut memberi contoh kemenangan calon PN di Sungai Bakap yang berjaya mengatasi calon Barisan Nasional (BN) walaupun lawan memiliki kelulusan akademik yang lebih tinggi.

“Calon kami di sana kurang dari segi kelulusan tapi rakyat nampak beliau boleh dipercayai untuk bawa suara mereka,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor.

Mengulas calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Ayer Kuning, beliau berkata pengumuman rasmi akan dibuat dalam satu majlis di Taman Awam Tasek Temoh, Tapah, Perak pada malam ini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu juga percaya calon bakal ditampilkan PN boleh memenangi kerusi DUN pada PRK Ayer Kuning itu mengatasi calon Umno-BN.

“Dalam pemilihan calon, PAS tetap mengambil kira latar belakang agama sebagai asas utama, tapi ada tempat yang rakyat lebih lihat kepada siapa boleh berkhidmat, bukan kelulusan semata-mata,” jelasnya.

Untuk rekod, BN telah menamakan Setiausaha Umno Bahagian Tapah, Dr Mohammad Yusri Bakir sebagai calon mereka bagi PRK berkenaan.

Sementara itu, majlis sambutan Aidilfitri anjuran PAS Pengkalan Chepa berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan bekas Menteri Besar yang juga Persuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.

“Kami jemput semua lapisan masyarakat dan turut agih 1,000 sampul duit raya kepada kanak-kanak,” ujarnya. – Harakahdaily

Related Posts