ALOR SETAR: “Saya harap Nurul Izzah menang, kalau dia menang, saya akan tulis warkah kepada dinda.”
Demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika diminta mengulas mengenai pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini sedang berlangsung hangat.
Beliau menyatakan sokongan kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar untuk memenangi jawatan tersebut, dengan menyebut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak pernah mengkritiknya.
“Saya harap Nurul Izzah menang, dia tak kutuk saya, tapi yang saya kata nak tulis warkah itu, melawak saja,” katanya secara berseloroh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu tegaskan, Pas tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman mana-mana parti lain termasuk PKR.
“Saya berpegang kepada pandangan parti. Pas tidak masuk campur dalam pemilihan parti lain. Tapi oleh kerana mereka parti kerajaan, sekurang-kurangnya siapa yang menang akan beri kesan kepada kerajaan selepas ini,” jelas beliau.
Sanusi berharap proses pemilihan parti lawan itu berjalan lancar dan memberi manfaat kepada negara.
“Saya harap orang yang menang jawatan itu (Timbalan Presiden) ialah orang yang lebih baik untuk negara. Kalau Nurul Izzah lebih baik, Nurul Izzah lah. Kalau (Datuk Seri) Rafizi Ramli, maka Rafizi lah,” katanya. – Sinar Harian