Mahkamah dan Jenayah

Eda Ezrin, Nur Aida dibawa terus ke Balai Polis Rantau Panjang, 4 lagi masih di Sungai Golok

SUNGAI GOLOK: Penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin bersama rakannya, Nur Aida Mamat dibawa terus ke Balai Polis Rantau Panjang, di sini, sejurus tiba di sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Difahamkan, hanya Eda Ezrin, 30, yang juga penyanyi lagu ‘Bea Sobar Bea’ dan Nur Aida, 33, setakat ini dibenar pulang ke Malaysia.

Baki empat yang lain termasuk suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35; Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur dan Zuhaira Nasrin, 26, masih di Pejabat Imigresen Sungai Golok kerana proses dokumentasi belum siap.

Terdahulu, Eda Ezrin dan Nur Aida sebaik tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, diserahkan kepada pihak polis.

Mereka kemudian dibawa terus ke Balai Polis Rantau Panjang untuk mengambil keterangan.

Ahli keluarga Eda Ezrin yang sebelum ini berkumpul di Sungai Golok juga dimaklumkan dalam perjalanan ke balai polis berkenaan.

Terdahulu, penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan yang lain yang dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat tiba di Pejabat Imigresen Sungai Golok jam 6.10 petang waktu Malaysia.

Jurucakap Pejabat Imigresen Sungai Golok memaklumkan semua enam yang dibebaskan itu sudah tiba di sini jam 5.10 waktu Thailand dari Balai Polis arathiwat.

Namun, katanya daripada enam individu itu, hanya dibenarkan pulang ke Kelantan malam ini iaitu Eda Ezrin dan rakannya Nur Aida.

Mengenai baki empat yang lain itu, sumber itu berkata mereka mungkin dibebaskan esok selepas proses dokumentasi selesai.

Media semalam melaporkan Eda Ezrin dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat selepas lebih sembilan bulan ditahan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes berkenaan.

Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Bagaimanapun pada 6 Mac lalu, keenam-enam mereka dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba. – Berita Harian

Related Posts