Mahkamah dan Jenayah

Bakal pengantin maut terjatuh dari tingkat 27 kondominium

MELAKA: Seorang pemuda yang telah bertunang ditemukan maut, dipercayai terjatuh dari tingkat 27 sebuah rumah inap kondominium di Kota Syahbandar di sini awal pagi Khamis.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku selepas mangsa berusia 24 tahun bersama tunangnya berusia 21 tahun baru beberapa jam mendaftar masuk ke rumah inap tersebut.

Sumber berkata, kejadian disedari penyewa lain di tingkat lapan selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari kawasan kolam renang yang terletak di tingkat tujuh.

“Saksi memaklumkan ternampak objek seperti manusia dalam kolam dan terus menghubungi balai polis untuk mendapatkan bantuan.

“Pasukan polis yang tiba mengesahkan objek terapung dalam kolam renang adalah mayat seorang lelaki dengan keadaan tangan kirinya terputus, dipercayai terjatuh dari tingkat atas,” katanya.

Pasukan bomba turut dipanggil bagi membantu mengangkat mayat dari kolam sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa memberitahu tunangnya bahawa dia terdengar orang mengetuk pintu rumah sebelum keluar ke balkoni untuk cuba turun ke tingkat bawah.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam renang di tingkat tujuh.

“Semakan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati tiada pergerakan individu lain ketika kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mangsa demi menjaga sensitiviti keluarga. – Sinar Harian

Related Posts