Home Mahkamah dan JenayahMak, anak, menantu mengaku bergaduh di Pasar Melor

Mak, anak, menantu mengaku bergaduh di Pasar Melor

oleh suara timur

KOTA BHARU: Lima wanita daripada dua buah keluarga didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di depan Pasar Melor di sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anak, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, selain dua beradik, Siti Sara Suaini, 30 dan Siti Mastura, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima wanita itu didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor di sini yang merupakan suatu tempat awam kira-kira pukul 2.30 petang pada 25 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

banner

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh kerana siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham di aplikasi TikTok.

“Situasi itu agak membimbangkan apabila pertikaian di media sosial dibawa ke alam realiti sehingga mencetuskan keganasan fizikal dan mengganggu ketenteraman awam. Pergaduhan itu bukan sahaja melibatkan individu secara bersendirian, sebaliknya ia membabitkan ahli keluarga iaitu ibu, kakak ipar dan adik-beradik.

“Jika benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka sepatutnya mendaftar dalam sukan yang diiktiraf dan berdisiplin seperti Fury Championship atau kejohanan sukan tempur berdaftar apabila kekuatan diuji mengikut peraturan, dipantau pengadil dan dihormati masyarakat,” katanya.

Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum dikenakan terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira video kes tersebut yang tular di media sosial sudah memberi pengajaran kepada kelima-lima wanita itu.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman turut menasihati kesemua tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama dan sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman tanpa sebarang kacau-bilau.

“Penduduk di Kelantan terkenal dengan budaya dan berbudi bahasa tinggi. Tidak elok Kelantan jadi sohor (terkenal) dengan perkara seperti ini. Jika ada masalah, selesai cara baik,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. Kelima-lima wanita itu membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Sebelum ini, seramai 12 individu yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Terdahulu, tular satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa wanita sedang bergaduh di Pasar Melor di sini pada Khamis lalu.

Pergaduhan itu pada awalnya melibatkan dua orang wanita sebelum sekumpulan individu termasuk beberapa lelaki dan wanita dipercayai keluarga mereka turut campur tangan dan cuba meleraikan insiden tersebut. – Kosmo

Tinggalkan komen