Mahkamah dan Jenayah

Kes tembak wanita hamil: Aimay dicekup selepas tiga tahun diburu polis

PASIR MAS – Selepas tiga tahun hidup dalam pelarian, seorang lelaki dikenali sebagai Aimay yang dikaitkan dengan pembunuhan wanita hamil tujuh bulan akhirnya berjaya dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Bukit Lata di sini pada Rabu.

Suspek Aimay atau nama sebenarnya Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, ditahan pada jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil soal siasat awal mendapati Aimay tidak mengaku melepaskan tembakan ke atas wanita berkenaan.

“Suspek juga tidak mengaku terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut beliau, siasatan lanjut akan diteruskan oleh polis selepas tempoh reman diperolehi.

Ujar Kama Azural, dalam serbuan itu PGA turut menahan seorang lagi lelaki berusia 24 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek tidak menjumpai barang yang menyalahi peraturan. Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methampitamine.

“Semakan mendapati suspek yang ditangkap bersama Aimay itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts