MARANG: Sebanyak 44 penunggang motosikal ditahan dalam operasi khas di Jalan Kampung Gong Kekabu-Jalan Taman Safiah Murni, Bukit Payong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Mohd Redzuan berkata, kumpulan penunggang motosikal tersebut berkumpul dan mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, menurutnya, dua lelaki warga asing dipercayai warga Rohingya yang menunggang motosikal secara berasingan tanpa lesen.
“Seramai 19 remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun serta 25 individu berusia 18 hingga 41 tahun telah diperiksa manakala 38 buah motosikal disita mengikut akta sama,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Sofian memberitahu, sebanyak 152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terutamanya membabitkan kesalahan mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising.
“Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan kekuatan 24 anggota bersama pegawai bermula pada pukul 12.30 tengah malam,” katanya.
Bagaimanapun, penunggang motosikal yang ditahan itu diminta melakukan solat sunat taubat dan solat Subuh secara berjemaah sebelum dibebaskan. – Suara Timur
