KUALA TERENGGANU: Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli pelajar Tingkatan Dua.
Perintah reman terhadap dua pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret, di sini.
Dua pelajar Tingkatan Tiga itu direman sehingga Isnin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, lima pelajar lelaki sekolah sama, berusia antara 15 hingga 17 tahun direman sehingga esok.
Kelmarin, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM berkenaan mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama pada malam Selasa sebelumnya sehingga mendakwa mengalami kecederaan pada perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, dipetik berkata mangsa mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, selain ditumbuk pada bahagian perut dan ditampar muka.
Kejadian itu dikatakan disedari warden bertugas yang kemudian membawa mangsa dan suspek ke pejabat warden sebelum penjaga mangsa dihubungi dan pelajar itu seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.48 petang Rabu dan suspek disyaki terbabit ditahan keesokannya.
Azamuddin juga dilapor berkata, polis menerima laporan kedua daripada seorang lagi pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian sama.
Dalam laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada Khamis, mangsa kedua memaklumkan dibuli kumpulan pelajar sama dalam kejadian sekitar jam 11.30 malam, 24 Jun lalu di asrama putera dan mengalami kecederaan bahagian kaki kanan dan kiri. – Berita Harian