Negara

Tasik Kenyir antara 14 ‘hotspot’ sebagai lokasi berlaku gempa bumi

KUALA LUMPUR: Sejumlah 14 ‘hotspot’ atau kawasan panas dikenal pasti sebagai lokasi berlakunya gempa bumi di negara ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghan, yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berdasarkan kajian dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, 14 kawasan itu adalah Ranau dan Lahad Datu, Sabah; Niah, Sarawak; Bukit Tinggi dan Janda Baik, Pahang; Batang Kali dan Ulu Yam, Selangor serta Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Hotspot lain ialah Kenyir, Terengganu; Manjung dan Temenggor, Perak serta Mersing, Segamat, Batu Pahat di Johor,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan dari Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda) mengenai adakah Malaysia telah mengemas kini data terkini susulan perubahan iklim dan gempa bumi yang berlaku, selain pembinaan bangunan di negara ini tahan kepada gempa bumi.

Johari berkata, negara ini juga mempunyai Malaysia National Annex to Eurocode 8: Part 1 – General Rules, Seismic Actions and Rules For Buildings yang diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Menurutnya, dengan adanya perkara itu, ia dapat memastikan reka bentuk, tahap gempa dan mitigasi kejuruteraan yang bersesuaian diambil kira dalam pembangunan sesuatu kawasan berisiko.

Katanya, mana-mana pihak pemaju yang mahu membuat pembangunan di sesuatu kawasan, perlu melihat kepada kawasan panas berkenaan dan merujuk kepada standard yang ada.

“Mereka perlu tengok ‘hotspot’ ini dan kita akan suruh permohonan pembangunan mengikut standard yang ada. Tapi kalau kawasan yang tidak ada dalam senarai jajaran gempa bumi ini tak payahlah kita pakai.

“Cuma kita nak kumpul data-data ini, supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negara kita ini apabila dia nak meluluskan pembangunan dan sebagainya, kena merujuk kepada data geospatial,” katanya. – Berita Harian

Related Posts