KEMAMAN: UC TATI Racing Team menamatkan penantian lebih sedekad untuk kembali meraih podium di arena perlumbaan setelah berjaya meraih podium berganda untuk berada di tempat kedua dan ketiga keseluruhan pada perlumbaan Formula Student Malaysia (FMS 2026) yang telah melabuhkan tirai di Litar Dato’ Sagor, Perak.
Lebih menarik, pasukan lumba yang dibarisi sepenuhnya oleh pelajar-pelajar dari Universiti College Terengganu Advanced Technical Institute (UC TATI) dari Kemaman, Terengganu ini juga turut mendominasi sebahagian besar podium bagi kategori Formula 150cc Stock Production(F150SP) yang mempertaruhkan 8 acara keseluruhan.

FMS 2026 di Litar Dato’ Sagor, Perak.
Pengurus pasukan, Mohd Saifuldin Mohd Mokhtar, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha berpasukan yang konsisten meskipun berdepan saingan sengit daripada pasukan-pasukan pilihan.
“Bukan laluan mudah dan cabaran sengit bagi kami meraih podium di litar ini untuk bersaing dengan jentera-jentera lawan yang hadir selaku pasukan pilihan dengan reputasi yang tersendiri.
“Disiplin serta komunikasi berpasukan menjadi kunci untuk kami kekal konsisten fokus dalam setiap acara perlumbaan. Separuh daripada semua acara yang disertai kami meraih podium dan ada di antaranya kami meraih tempat pertama dan kedua sekaligus,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Mohd Saifuldin berkata, meraih podium tempat pertama dan kedua bagi acara Skidpad memberi satu penanda aras buat jentera lumba yang dibina sepenuhnya oleh pelajar-pelajar kejuruteraan institusi pengajian tinggi dari Kemaman, Terengganu ini.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian pasukan di mana menjadi satu-satunya pasukan yang tidak menjatuhkan kon di dalam litar bagi acara Skidpad yang mempertaruhkan kutipan mata untuk menguji kestabilan jentera.
“Ini secara tidak langsung memberi penanda aras kemenjadian pelajar kejuruteraan UC TATI yang diterjemahkan dalam teknologi jentera perlumbaan ini,” ujar beliau.

Dalam perlumbaan itu, UC TATI Racing Team mempertaruhkan dua jentera dalam kategori F150SP dan berjaya meraih tempat ketiga bagi acara Acceleration, tempat pertama dan kedua dalam Skidpad, selain kedudukan kedua dan ketiga dalam Autocross serta tempat kedua bagi Endurance.
Pencapaian konsisten tersebut memastikan pasukan berkenaan menamatkan saingan dengan kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan bagi edisi FMS 2026, sekali gus menandakan kebangkitan semula mereka dalam sukan permotoran negara.
Untuk rekod, kali terakhir pasukan UC TATI Racing Team menyertai perlumbaan adalah pada kejuaraan EIMARACE pada tahun 2015 di Kuantan yang berjaya meraih podium di tempat kedua perlumbaan dan juara keseluruhan berpasukan. – Suara Timur
