Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melancarkan Jelajah Trak Pameran Bergerak ECRL 2026 yang bakal menjelajah negeri-negeri di Pantai Timur bermula esok bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkembangan projek infrastruktur strategik negara itu.
MRL dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, jelajah tersebut akan dimulakan di Pahang dengan lokasi pertama di Dataran Bentong pada Khamis dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, sebelum meneruskan program di Felda Mempaga pada Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Pada Sabtu, trak pameran itu akan berada di Tempat Letak Kereta Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pada Ahad ia akan beroperasi di Tempat Letak Kereta East Coast Mall, berhadapan Hotel Zenith Kuantan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut MRL, jadual jelajah yang dipaparkan setakat ini hanya melibatkan negeri Pahang, manakala jadual bagi negeri-negeri lain akan diumumkan secara berperingkat.
“Kami menjangkakan Trak Pameran Bergerak ECRL akan memasuki Terengganu pada pertengahan Jun ini dengan Bandar Chukai dijadual menjadi destinasi pertama di negeri tersebut.
“Jadual jelajah akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai projek ECRL selain menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan serta berpeluang menerima cenderahati eksklusif,” menurut kenyataan itu.
ECRL merupakan projek pengangkutan rel berimpak tinggi yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dengan menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak di Selangor melalui rangkaian landasan moden.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan jajaran utama sepanjang 665 kilometer dengan kos keseluruhan RM50.27 bilion dan dijangka memperkukuh hubungan logistik, perdagangan serta mobiliti penumpang antara Pantai Timur dan Lembah Klang.
Apabila siap kelak, ECRL dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Terminal Bersepadu Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding tempoh perjalanan jalan raya yang jauh lebih panjang ketika ini.
Jajaran utama ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung 2026, manakala sambungan dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 sebelum memulakan operasi penuh pada awal 2028.
Projek mega itu turut dilihat berpotensi merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang koridor pembangunan yang dilaluinya. – Suara Timur
