Negeri

450 pelajar SM Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman ikuti Program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas Dan Perangi Vape

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Lebih 450 orang pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di sini, mengikuti Program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas Dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman bagi tahun 2025 di sekolah tersebut, Rabu lalu.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, program ini merupakan program kali kedua tahun 2025 anjuran bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman.

Menurutnya, program tersebut diadakan selepas Program Sinergi Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman “Menjana Generasi Madani Cemerlang”  di dewan EPIC Kemaman pada 21 Jun lalu.

“Majlis permuafakatan yang penuh bermakna antara PDRM IPD Kemaman dan warga pendidikan daerah Kemaman merupakan satu platform penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak didik kita serta komuniti sekolah,” katanya.

KETUA Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli (dua, kiri)  dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan (tengah) pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di SM Imtiaz YT, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli.

Hadir sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan, Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu, Haji Megat Samsudin Megat Yusuf dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Terengganu, Tengku Mohd Majid Tunku Mahmud.

Sementara itu, Tengku Shahrir pula berkata, perkara utama yang harus dilihat diinstitusi Pendidikan ialah tempat mencari ilmu dan tempat paling selamat.

Katanya, bagaimanapun, akhir-akhir ini negara sering disajikan dengan kes-kes disiplin yang dasyat sehingga melibatkan kecederaan dan yang paling parah hingga melibatkan nyawa.

“Menjadi titik hitam dalam sistem pendidikan negara setelah berlaku kejadian-kejadian seperti ini. Oleh itu, sangat bertepatan program yang kita anjurkan pada hari ini yang mana memberi pendidikan dan kesedaran kepada murid-murid betapa peri pentingnya kita menjauhi perkara-perkara seperti ini.

MOHD Razi Rosli memberi ucapan pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Begitu juga dengan seks bebas dan vape. Murid-murid dilihat begitu menderung dan mudah terpengaruh ke arah itu. Lebih malang lagi ada murid-murid kita datang ke sekolah bukan untuk belajar sebaliknya memilih keseronokan ini sebagai pilihan utama.

“Sebab itu, saya sangat berterima kasih kepada pihak PDRM kerana melihat perkara ini sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) utama untuk diselesaikan.

Beliau memambah, warga pendidikan di Kemaman sentiasa memandang serius masalah disiplin yang berlaku dan dalam masa yang mengharapkan bantuan dari pihak PDRM untuk mengekang perkara ini dari terus berlaku.

TENGKU Shahrir Tengku Dahlan (dua kiri) dan  Mohd Razi Rosli (tiga kiri) pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Saya cukup berbangga kerana sejak akhir-akhir ini, hubungan baik antara PPD Kemaman dan IPD Kemaman semakin erat terjalin. Setiap kali program yang dianjurkan oleh pihak PPD Kemaman yang memerlukan penglibatan pihak PDRM, pasti tidak akan dipandang sepi,” 

Tengku Shahrir memberitahu, kerjasama erat antara PDRM dan Pejabat Pendidikan adalah kunci utama dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.

Jelasnya, permuafakatan ini adalah penting bagi kita untuk berkongsi maklumat, sumber, dan strategi dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan dan disiplin di sekolah.

“Saya melihat PDRM sentiasa komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada PPD Kemaman dan sekolah dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah. Kita berharap agar kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang, dengan lebih banyak program dan aktiviti yang dapat memberikan manfaat kepada pelajar, guru, dan masyarakat.

“Hakikat yang saya akui, kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari PDRM bukan sahaja dapat membantu sekolah menyelesaikan isu-isu yang berlaku malah dapat mendekatkan diri mereka dengan pelajar serta berkongsi maklumat berguna,” tambahnya.

Sementara itu Mohd Razi berkata, isu buli sama ada secara fizikal, lisan atau media sosial semuanya adalah jenayah. Mangsa akan trauma, dan pelaku boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Tiada siapa berhak merendahkan orang lain. Sebaliknya jadilah pelajar yang berani melindungi kawan, bukan menyakiti,” ujarnya.

Mengenai vape dan rokok elektronik, Mohd Razi berkata, ramai pelajar fikir yang ianya selamat berbanding rokok biasa tetapi hakikatnya vape juga mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan otak dan paru-paru.

“Kesihatan juga adalah aset paling beharga dan jangan bazirkan kesihatan di usia muda dengan tabiat yang merugikan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliah juga mengingatkan bahawa seks bebas bukan sahaja bercanggah dengan agama dan budaya kita, malah boleh merosakkan masa depan pelajar. – Suara Timur

Related Posts