Home SukanTerengganu intai kemenangan pembukaan Piala Agong

Terengganu intai kemenangan pembukaan Piala Agong

oleh suara timur

PETALING JAYA: Terengganu bertekad memulakan kempen Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 dengan langkah kanan apabila dijadual menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam aksi pembukaan kumpulan di Padang Astaka, di sini, Sabtu ini.

Skuad kendalian bekas pemain kebangsaan, Hafiizh Zainal itu bagaimanapun tidak mahu terlalu memandang mudah kemampuan lawan meskipun memiliki rekod baik ke atas Kuala Lumpur pada musim lalu.

Menurut Hafiizh, setiap pasukan pastinya mengimpikan kemenangan pertama untuk membina momentum awal musim dan perkara sama turut menjadi sasaran pasukan Terengganu.

KETUA jurulatih Hafiizh Zainal yang turut dibantu oleh Syamsuri Ab Talib(kanan) dan Muhammad Syafiq Mohd Zaiki mengendalikan skuad Terengganu untuk musim ini bagi memburu kejuaraan ragbi Piala Agong Edisi Ke-42.

“Setiap pasukan mahu memulakan kempen dengan kemenangan dan kami juga hadir dengan misi yang sama walaupun beraksi di tempat lawan.

banner

“Kami menghormati kekuatan Kuala Lumpur dan pemain perlu kekal fokus sepanjang perlawanan nanti bagi mengelakkan kesilapan mudah terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, faktor hujan bukan alasan buat pasukannya kerana pemain sudah bersedia untuk beraksi dalam apa juga keadaan padang.

“Kami tiada masalah untuk bermain dalam cuaca hujan lebat, namun disiplin dan penguasaan asas permainan perlu diberi perhatian kerana kesilapan kecil boleh mengubah corak perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, Terengganu mencatat kemenangan besar 49-11 ke atas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika aksi peringkat kumpulan musim lalu.

Kemenangan itu dijangka menjadi tonik tambahan buat skuad Penyu bagi menghadapi cabaran musim baharu, namun Hafiizh tetap mengingatkan pemain supaya tidak terlalu bergantung kepada rekod lalu. – Suara Timur

Tinggalkan komen