KUALA LUMPUR: Kelantan The Real Warriors (TRW) mendapat berita gembira menjelang sepak mula Liga Super 2025/2026 apabila kelab itu akhirnya bebas daripada sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perkembangan itu disahkan Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa apabila kes terakhir daripada sembilan sekatan yang dikenakan sebelum ini sudah mendapat pelepasan rasmi menerusi sepucuk surat dikeluarkan FIFA, semalam.
Susulan pelepasan itu, ia bermakna Kelantan TRW kini boleh mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Super 2025/2026 yang akan bermula hujung minggu ini.
“Setelah sekian lama berusaha menyelesaikan segala tuntutan yang membabitkan kelab dikenakan larangan pendaftaran pemain, akhirnya Alhamdulillah semuanya berjaya diselesaikan.
“Kelantan TRW sedang menyempurnakan proses pendaftaran semua pemain termasuk import dan Insya-Allah akan selesai semuanya sehari dua ini. Kelantan masih mempunyai lima slot kosong bagi pemain import dan dua pemain tempatan yang tidak diisi.
“Kini secara rasmi terbentuklah pasukan baru Kelantan The Real Warriors,” tulis Annuar di laman Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Kelantan TRW tidak boleh mendaftarkan pemain baharu apabila dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA susulan isu tunggakan gaji.
Kelab yang sebelum ini dikenali sebagai Kelantan Darul Naim (KDN) FC itu melakukan perubahan besar termasuk dari aspek pengurusan, jenama dan skuad mereka bagi menghadapi musim 2025/2026. – Berita Harian