Mahkamah dan Jenayah Negara Sukan

Siasatan serangan asid ke atas Faisal Halim diklasifikasikan sebagai NFA – Peguam

KAJANG: Siasatan serangan asid ke atas bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan Faisal Halim sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada Mei 2024.

“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.

“Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 5 Mei tahun lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Susulan itu, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey terpaksa menjalani pembedahan beberapa kali ekoran insiden itu.

Malah pada persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Julai tahun lalu, menyaksikan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet diluluskan secara konsensus oleh kesemua ADUN. – Berita Harian

Related Posts