KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia disyaki didera bapa kandung dan ibu tirinya setelah empat hari bertarung nyawa di Wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Mangsa berusia 23 bulan yang dimasukkan ke dalam hospital sejak Selasa lalu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.05 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pegawai perubatan HSNZ mengesahkan kematian anak bongsu daripada dua beradik tersebut disebabkan pendarahan otak akibat kesan pukulan tumpul.
“Bapa mangsa yang merupakan buruh berusia 27 tahun dan isterinya, seorang suri rumah berusia 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Mereka telah ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, soal-siasat awal pasangan suami isteri itu mengaku pernah memukul betis mangsa dengan penyangkut baju.
Beliau berkata, begitupun, mereka mendakwa bayi tersebut tidak sedarkan diri dipercayai impak terjatuh sewaktu memanjat pagar penghadang bilik pada pukul 11 pagi, Selasa lalu.
“Mangsa dikatakan mengalami bengkak pada bahagian dahi akibat kejadian itu sebelum dirawat menggunakan ais oleh bapanya namun tidak sedarkan diri sewaktu mengejutkannya untuk minum susu pada pukul 12 tengah hari keesokan harinya,” katanya. – Kosmo